Sunday, 8 May 2011

minna, oinori shiyou~

Terdapat satu riwayat berkenaan sepasang suami isteri yang begitu menginginkan anak tetapi masih belum ada rezeki untuk mereka memperolehinya. Oleh kerana itu sang suami telah bernazar untuk meminum air kencing anjing hitam sekiranya mereka dikurniakan anak.

Dengan takdir Allah, beberapa tahun selepas sang suami bernazar akhirnya mereka mendapat berita gembira apabila si isteri hamil dan selamat melahirkan zuriat untuk mereka.

Selepas peristiwa itu si suami itupun pergilah mencari anjing hitam untuk diminum air kencingnya. Puas mencari, dia dipertemukan juga dengan seekor anjing hitam. Si suami tidak menunggu lama untuk menadah air kencing anjing tersebut dan cuba untuk meminumnya. Malangnya dia tidak mampu meminum air kencing anjing hitam itu oleh kerana bau busuk yang amat daripada air kencing tersebut. Lalu si suami membuat keputusan untuk bertemu Rasulullah saw.

Setelah bertemu dan menceritakan segala permasalahannya kepada Rasulullah saw, Baginda menjelaskan bahawa nazar si suami itu tidak sah kerana ia membabitkan perkara haram. Perbuatan meminum air kencing anjing itu adalah haram maka nazar tersebut tidak perlu ditunaikan.

Walaupun begitu, nazarnya masih boleh dilakukan dengan cara pergi kerumah orang islam yang tidak bersolat ketika hujan turun. Kemudian tadahlah air hujan yang mencurah dari atap rumahnya, kerana air yang mencurah dari rumah orang yang tidak bersolat itu sama nilainya dengan air kencing anjing hitam.

Masya_Allah…

Sabda Rasulullah saw ” Amalan terawal yang dihisab oleh Allah swt di akhirat kelak ialah solat “

Bila berbicara tentang solat, ada sebilangan yang memandangnya sebagai isu remeh. “Alahai, macamlah kita ini tidak tahu yang solat itu wajib, lagi mahu diulang-ulang..”. Memanglah perlu diulang-ulang kerana kita ini jika tidak selalu diperingatkan akan mudah terlupa dan seterusnya lalai.

Di dalam hal ibadah solat, kerapkali melakukannya kadangkala bukan membuatkan kita lebih berhati-hati bahkan ada yang semakin hilang rasa keprihatinan pada nilai solat. Ia seolah-olah telah menjadi perkara yang begitu remeh untuk di perbincangkan. Ini kerana kebanyakkan kita bersolat tanpa jiwa hamba. Bersolat di dalam keadaan jasad dan hati tidak seiring. Secara langsung menghilangkan sensitivi berkenaan nilai solat yang dilaksanakan hingga mengakibatkan kita tidak terasa apa-apa untuk mengabaikannya.

Berdasarkan al-quran dan hadis Nabi golongan yang mengabaikan solat ini boleh dipecahkan kepada 4 kategori.

1- Golongan yang sememangnya meninggalkan solat lima waktu sehari semalam.

2- Golongan yang bersolat tetapi tidak cukup lima waktu dalam sehari semalam.

3- Golongan yang bersolat tetapi malas iaitu sering di lakukan di akhir waktu.

4. Golongan yang menunaikan solat lima waktu dalam keadaan lalai dan tidak mengingati Allah swt.

Lalu kita di golongan yang mana?

Maka periksa-periksalah diri kita dan periksa-periksalah solat kita. Moga kita tidak tergolong di antara keempat-empat golongan yang disebutkan diatas. Perbaikilah solat kita dan juga perhubungan kita dengan Allah swt.


*****thanks to http://www.facebook.com/?ref=home#!/notes/mari-belajar-mendalami-islam/status-si-pengabai-solat/220972741261985?notif_t=note_reply

for info :):)